Friday 4 May 2012

Apex, Nazmi Tercalon Untuk Atlit Paling Popular




KL, 19 APRIL 2012: Jika Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dianjurkan untuk mengiktiraf populariti seseorang artis.
Murai Batu tengok industri sukan juga tidak ketinggalan menganjurkan anugerah yang sama untuk mengiktiraf populariti setiap atlit.
Justeru, Astro Arena telah berbesar hati untuk memberi penghargaan kepada jaguh sukan negara menerusi Anugerah Astro Arena 2012.
Menerusi anugerah berkenaan, pemilihan boleh dibuat oleh rakyat Malaysia melalui proses undian di laman www.arena.my
Dalam senarai calon yang Murai Batu tengok, ada dua nama yang menarik perhatian Murai Batu.
Salah satunya ialah Khairul Fahmi Che Mat atau pun Apex. Seperti yang semua tahu, populariti anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini tidak terhad sebagai ahli sukan tetapi dia kini telah mula berjinak-jinak dalam industri hiburan.
Penjaga gol skuad Kelantan itu sememangnya tidak pernah lekang daripada kontroversi dengan pelbagai cerita peribadinya sentiasa menarik perhatian umum.
Tidak dinafikan, Apex adalah salah seorang penjaga gol terbaik di negara kita dan atas reputasi itulah Murai Batu rasa dia mencipta nama namun naiknya nama seseorang akan sentiasa diiringi cakap-cakap yang akan menjatuhkan beliau.
Menerusi anugerah ini, Apex akan bersaing dalam kategori Atlit Lelaki Pilihan bersama Bryan Nickson Lomas (Terjun), Adrian Ang (Bowling), Cheng Chu Sian (Memanah) dan Mazli Ikmar Mohd Nor (Hoki).
Jika dikira dari sudut popularitinya sekarang, bukanlah satu kejutan sekiranya Apex akan menang.
Satu lagi nama yang menarik perhatian Murai Batu ialah Muhammad Nazmi Faiz Mansor.
Sejak skuad negara kita berjaya mempertahankan pingat emas Sukan Sea hujung tahun lalu, nama anak muda kelahiran ibu kota ini semakin meningkat di bibir peminat.
Dari cerita dia tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sehinggalah aksinya di atas padang.
Nama Nazmi sering disebut-sebut sebagai bintang masa depan bola sepak negara. Juga bukanlah sesuatu yang mustahil sekiranya Nazmi terpilih sebagai Atlit Muda Pilihan dalam Anugerah Astro Arena 2012.
Bagaimanapun, semuanya terpulang kepada undian anda. Anda boleh melihat sendiri senarai percalonan dan kategori yang ada di laman www.arena.my
Murai Batu: Kalau Apex jadi pelakon dan pada masa yang sama tetap bermain bola, dia boleh masuk ABPBH dan Anugerah Astro Arena serentak. Fuyoo.

0 comments on "Apex, Nazmi Tercalon Untuk Atlit Paling Popular"